Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke-39 2011


Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke-39 telah berlangsung pada 23 April 2011, bersamaan hari Sabtu bertempat di Dewan Blok G SMK Sri Sentosa, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Majlis  tersebut bermula pada  pukul 8.30 pagi dan tamat pada pukul 12.30 tengah hari. Objektif  Majlis Anugerah Cemerlang diadakan  untuk memberi  penghargaan  oleh pihak sekolah dan PIBG kepada para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum tahun 2010.

Ketibaan para tetamu jemputan dan ibu bapa serta tetamu kehormat bermula pada pukul  8.30 pagi. Para penerima anugerah telah mendaftarkan  kehadiran mereka  di meja pendaftaran dan  mereka berkumpul di Dewan Blok G sementara menunggu tetamu kehormat tiba. Sesi pendaftaran kehadiran para jemputan dapat dilaksanakan dengan lancar.





Pada pukul 9.15 pagi, para guru dan pasukan unit beruniform sekolah seperti Pengakap, Kadet Polis,  Pandu Puteri, Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pengawas Sekolah dan   Pengawas Pusat Sumber telah berbaris di sepanjang jalan berhadapan Blok G untuk menyambut kedatangan tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusop, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Ketibaan  beliau telah disambut  meriah dengan paluan kompang oleh ahli Persatuan Kompang sekolah  lalu berarak menuju  ke Dewan Blok G  diiringi bersama oleh  Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa, En. Foong Tak Chu, Yang DiPertua  PIBG serta barisan pentadbir SMK Sri Sentosa, masuk ke dewan dan  mengambil tempat. Seterusnya para tetamu diminta berdiri dan bersedia untuk menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Maju dan Sejahtera.



Majlis pada hari ini telah dipengerusikan oleh Puan Sujata Rani Dev, Puan Rohaya Bt Mohd Noor, Puan Nol Shaffira Bt Mohd Shariff dan Cik Intan Noorzuriani. Pengerusi  Majlis, Puan Sujata  Rani Dev telah   mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang hadir dan merakamkan sekalung terima kasih atas keperihatinan dan kesudian para ibu bapa dan penjaga untuk bersama-sama menjayakan  Majlis Anugerah Cemerlang SMK Sri Sentosa  2011. Demi memberkati majlis pada hari itu,  bacaan doa telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Lotfi Bin Lebai Zakaria. Kemudian, majlis diteruskan  dengan ucapan alu-aluan Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa kepada semua tetamu yang hadir.    Seterusnya, ucapan daripada Timbalan YDP PIBG,   Encik Jamil  Bin Rais dan ucapan daripada Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusop  serta merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke -39 tahun 2011.




Sebagai  penyeri  majlis pada hari itu, satu persembahan  Tarian Singa  dan Wushu   yang dibimbing oleh En. Wong Seng Choong  begitu menarik sekali dipertontonkan kepada para tetamu yang hadir. Persembahan itu dianggotai  lebih kurang 20 ahli Wushu . Selepas itu, bermulalah acara penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar cemerlang  Tingkatan Peralihan,dan Tingkatan  1 yang disampaikan oleh En William Tan Chin Beng  bekas YDP PIBG SMK Sri Sentosa dan diiringi oleh Pn. Hasni Bt Hassan, Penolong Kanan petang. Penyampaian  sijil dan hadiah Tingkatan 2, 4 dan 6 Rendah tahun 2010 telah  disampaikan oleh  En Jamail Rais Bin Abdullah Naib YDP PIBG dan  diiringi oleh En. Lok Chee Wai, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.  Setelah selesai sesi penyampaian  hadiah pelajar, majlis berehat seketika dengan  selingan  persembahan kedua iaitu Tarian  Payung yang  dianggotai oleh empat orang pelajar Melayu dari  Tingkatan  2 yang sangat menarik dan menghiburkan para tetamu yang hadir.



Kemudian,  majlis pada hari ini disambung  kembali dengan  penyampaian sijil dan hadiah kepada  pelajar-pelajar yang cemerlang dalam PMR 2010 yang disampaikan oleh En. Foong Tak Chu, YDP PIBG dan diiringi oleh Pn. Sharifah Fathiah Bt Syed Abdullah, Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum. Seramai  23 pelajar berjaya mendapat 8A dan 41 pelajar mendapat 7A.  Pelajar terbaik PMR ialah Adeline Tan Xiao Hann . Majlis diteruskan dengan selingan persembahan  ketiga iaitu Tarian Solo Klasik yang dipersembahkan oleh Harinya  A/P Ganesan   yang sungguh menarik  dan menghiburkan hati para tetamu.



Selepas selesai  persembahan, majlis  diteruskan semula  dengan penyampaian anugerah dan cenderamata  kepada pelajar yang cemerlang  dalam SPM 2010 . Penyampaian anugerah  ini disampaikan oleh  Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusup, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diiringi oleh Yang Berusaha Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa. Seramai 66 pelajar mendapat sijil dan hadiah. Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Aliran Sains ialah Wong Chun Yew  dan Lim Yee Mun merupakan pelajar Terbaik Aliran Sastera . Acara berikutnya penyampaian hadiah Pelajar Cemerlang STPM 2010 telah disampaikan oleh Inspektor Mustafar B Latye  merupakan Pegawai Perhubungan  Polis  SMK Sri Sentosa dan diiringi oleh Puan Doreen Veronica D’Souze, Penolong  Kanan Tingkatan 6. Seramai 11 orang pelajar telah menerima sijil dan cenderamata.   Chew Farn Yeong menjadi pelajar Terbaik Aliran Sains dan Chin Wui Khong pelajar Terbaik Aliran Sastera.  Pelajar Terbaik Keseluruhan disandang oleh Yap Boon Jhoe.   Majlis  berehat seketika  untuk memberi  laluan kepada persembahan Tarian Latin yang dipersembahkan oleh tiga orang pelajar  yang telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang ini sehingga Peringkat Kebangsaan .  Mereka terdiri daripada Tamico Foo Pui San, Ong Chu Hong dan Nicol  Or Wan Imn. Persembahan mereka sangat menarik dan menghiburkan para tetamu yang hadir.

Akhir sekali majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Kokurikulum  yang telah disampaikan oleh  Yang berusaha  En. Ooi Hock Leong, Guru Besar SK Seri Setia  dan diiringi bersama oleh Puan Chan Mei Pheng, Penolong Kanan KoKurikulum. Beliau sudi menyampaikan sijil dan cenderamata kokurikulum  kepada 21 orang pelajar. Selepas itu, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh bin Yusup, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diiringi bersama   dengan Puan Hajah Rahmah Binti Abd  Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa. Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2010 Olahragawan disandang oleh Kwong Kar Jun dan Olahragawati disandang oleh Nor Raffizah Shaffina. Manakala Pelajar Terbaik  Kokurikulum  disandang oleh Wong Xin Mei.

Semasa  majlis dijalankan, para tetamu telah dijamukan dengan minuman air mineral  dan kek. Sebelum majlis berakhir , Yang berusaha Puan Hajah Rahmah Binti Abd Haji, Pengetua Smk Sri Sentosa  sudi menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat yang sudi hadir dalam majlis ini. Majlis diakhiri dengan nyanyian Lagu sekolah. Para tetamu khas dan semua jemputan telah dijemput ke kantin untuk menikmati kudapan tengah hari.

Secara keseluruhannya, Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke-39 pada tahun ini  telah disempurnakan dengan jayanya  , hasil  usaha gigih dan kerjasama semua warga sekolah  SMK Sri Sentosa dari peringat  awal hingga akhir dan berjaya mencapai objektifnya.


Laporan oleh,
Clk Lee Li Fung
Puan Norhaya Bt Mansor
(AJK Dokumentasi)



TETAMU SEDANG ONLINE