Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke-39 telah berlangsung pada 23 April 2011, bersamaan hari Sabtu bertempat di Dewan Blok G SMK Sri Sentosa, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Majlis tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi dan tamat pada pukul 12.30 tengah hari. Objektif Majlis Anugerah Cemerlang diadakan untuk memberi penghargaan oleh pihak sekolah dan PIBG kepada para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum tahun 2010.
Ketibaan para tetamu jemputan dan ibu bapa serta tetamu kehormat bermula pada pukul 8.30 pagi. Para penerima anugerah telah mendaftarkan kehadiran mereka di meja pendaftaran dan mereka berkumpul di Dewan Blok G sementara menunggu tetamu kehormat tiba. Sesi pendaftaran kehadiran para jemputan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada pukul 9.15 pagi, para guru dan pasukan unit beruniform sekolah seperti Pengakap, Kadet Polis, Pandu Puteri, Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber telah berbaris di sepanjang jalan berhadapan Blok G untuk menyambut kedatangan tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusop, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ketibaan beliau telah disambut meriah dengan paluan kompang oleh ahli Persatuan Kompang sekolah lalu berarak menuju ke Dewan Blok G diiringi bersama oleh Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa, En. Foong Tak Chu, Yang DiPertua PIBG serta barisan pentadbir SMK Sri Sentosa, masuk ke dewan dan mengambil tempat. Seterusnya para tetamu diminta berdiri dan bersedia untuk menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Maju dan Sejahtera.
Majlis pada hari ini telah dipengerusikan oleh Puan Sujata Rani Dev, Puan Rohaya Bt Mohd Noor, Puan Nol Shaffira Bt Mohd Shariff dan Cik Intan Noorzuriani. Pengerusi Majlis, Puan Sujata Rani Dev telah mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang hadir dan merakamkan sekalung terima kasih atas keperihatinan dan kesudian para ibu bapa dan penjaga untuk bersama-sama menjayakan Majlis Anugerah Cemerlang SMK Sri Sentosa 2011. Demi memberkati majlis pada hari itu, bacaan doa telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Lotfi Bin Lebai Zakaria. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa kepada semua tetamu yang hadir. Seterusnya, ucapan daripada Timbalan YDP PIBG, Encik Jamil Bin Rais dan ucapan daripada Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusop serta merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke -39 tahun 2011.
Sebagai penyeri majlis pada hari itu, satu persembahan Tarian Singa dan Wushu yang dibimbing oleh En. Wong Seng Choong begitu menarik sekali dipertontonkan kepada para tetamu yang hadir. Persembahan itu dianggotai lebih kurang 20 ahli Wushu . Selepas itu, bermulalah acara penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar cemerlang Tingkatan Peralihan,dan Tingkatan 1 yang disampaikan oleh En William Tan Chin Beng bekas YDP PIBG SMK Sri Sentosa dan diiringi oleh Pn. Hasni Bt Hassan, Penolong Kanan petang. Penyampaian sijil dan hadiah Tingkatan 2, 4 dan 6 Rendah tahun 2010 telah disampaikan oleh En Jamail Rais Bin Abdullah Naib YDP PIBG dan diiringi oleh En. Lok Chee Wai, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Setelah selesai sesi penyampaian hadiah pelajar, majlis berehat seketika dengan selingan persembahan kedua iaitu Tarian Payung yang dianggotai oleh empat orang pelajar Melayu dari Tingkatan 2 yang sangat menarik dan menghiburkan para tetamu yang hadir.
Kemudian, majlis pada hari ini disambung kembali dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam PMR 2010 yang disampaikan oleh En. Foong Tak Chu, YDP PIBG dan diiringi oleh Pn. Sharifah Fathiah Bt Syed Abdullah, Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum. Seramai 23 pelajar berjaya mendapat 8A dan 41 pelajar mendapat 7A. Pelajar terbaik PMR ialah Adeline Tan Xiao Hann . Majlis diteruskan dengan selingan persembahan ketiga iaitu Tarian Solo Klasik yang dipersembahkan oleh Harinya A/P Ganesan yang sungguh menarik dan menghiburkan hati para tetamu.
Selepas selesai persembahan, majlis diteruskan semula dengan penyampaian anugerah dan cenderamata kepada pelajar yang cemerlang dalam SPM 2010 . Penyampaian anugerah ini disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh Bin Yusup, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diiringi oleh Yang Berusaha Puan Hajah Rahmah Bt Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa. Seramai 66 pelajar mendapat sijil dan hadiah. Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Aliran Sains ialah Wong Chun Yew dan Lim Yee Mun merupakan pelajar Terbaik Aliran Sastera . Acara berikutnya penyampaian hadiah Pelajar Cemerlang STPM 2010 telah disampaikan oleh Inspektor Mustafar B Latye merupakan Pegawai Perhubungan Polis SMK Sri Sentosa dan diiringi oleh Puan Doreen Veronica D’Souze, Penolong Kanan Tingkatan 6. Seramai 11 orang pelajar telah menerima sijil dan cenderamata. Chew Farn Yeong menjadi pelajar Terbaik Aliran Sains dan Chin Wui Khong pelajar Terbaik Aliran Sastera. Pelajar Terbaik Keseluruhan disandang oleh Yap Boon Jhoe. Majlis berehat seketika untuk memberi laluan kepada persembahan Tarian Latin yang dipersembahkan oleh tiga orang pelajar yang telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang ini sehingga Peringkat Kebangsaan . Mereka terdiri daripada Tamico Foo Pui San, Ong Chu Hong dan Nicol Or Wan Imn. Persembahan mereka sangat menarik dan menghiburkan para tetamu yang hadir.
Akhir sekali majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Kokurikulum yang telah disampaikan oleh Yang berusaha En. Ooi Hock Leong, Guru Besar SK Seri Setia dan diiringi bersama oleh Puan Chan Mei Pheng, Penolong Kanan KoKurikulum. Beliau sudi menyampaikan sijil dan cenderamata kokurikulum kepada 21 orang pelajar. Selepas itu, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Salleh bin Yusup, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diiringi bersama dengan Puan Hajah Rahmah Binti Abd Haji, Pengetua SMK Sri Sentosa. Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2010 Olahragawan disandang oleh Kwong Kar Jun dan Olahragawati disandang oleh Nor Raffizah Shaffina. Manakala Pelajar Terbaik Kokurikulum disandang oleh Wong Xin Mei.
Semasa majlis dijalankan, para tetamu telah dijamukan dengan minuman air mineral dan kek. Sebelum majlis berakhir , Yang berusaha Puan Hajah Rahmah Binti Abd Haji, Pengetua Smk Sri Sentosa sudi menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat yang sudi hadir dalam majlis ini. Majlis diakhiri dengan nyanyian Lagu sekolah. Para tetamu khas dan semua jemputan telah dijemput ke kantin untuk menikmati kudapan tengah hari.
Secara keseluruhannya, Majlis Hari Anugerah Cemerlang ke-39 pada tahun ini telah disempurnakan dengan jayanya , hasil usaha gigih dan kerjasama semua warga sekolah SMK Sri Sentosa dari peringat awal hingga akhir dan berjaya mencapai objektifnya.
Laporan oleh,
Clk Lee Li Fung
Puan Norhaya Bt Mansor
(AJK Dokumentasi)